Bisnes anda perlukan website atau sistem web?
Kalau nak buat website untuk bisnes, elok tentukan dulu apa yang nak dibuat melalui website tu. Ada yang cuma nak pelanggan boleh tengok servis dan hubungi mereka. Ada pula yang nak urus tempahan, rekod pelanggan dan kerja staf sekali.
Dua-dua boleh dibuka melalui browser. Cuma fungsi dan kerja pembangunannya berbeza.
Ambil contoh bengkel kereta. Kalau pelanggan nak tengok senarai servis, lokasi, waktu operasi dan nombor untuk dihubungi, website biasa dah boleh buat semua tu. Letak maklumat yang lengkap, pastikan senang dibaca dekat telefon, dan bagi pelanggan cara yang mudah untuk hubungi bengkel.
Boleh juga tambah borang pertanyaan atau sambungkan dengan servis tempahan yang sedia ada. Tak perlu terus bina sistem sendiri kalau keperluannya masih ringkas.
Sekarang katakan bengkel tu nak staf boleh semak tempahan hari ini, tengok kereta mana belum siap dan cari rekod servis pelanggan lama.
Ini dah masuk kepada sistem web.
Staf perlu log masuk. Setiap tempahan ada rekod dan status. Mungkin mekanik cuma boleh kemas kini kerja, sementara pengurus boleh tengok semua rekod dan laporan.
Dari luar, nampak macam beberapa skrin dan butang sahaja. Tapi setiap tindakan ada perkara yang perlu diurus. Bila tempahan dibatalkan, slot itu perlu dibuka semula. Kalau dua staf mengubah rekod yang sama, perubahan siapa yang patut disimpan? Kalau tersalah masukkan maklumat, boleh betulkan atau padam terus?
Perkara macam ni yang mempengaruhi skop pembangunan.
Sebab tu, dua projek yang sama-sama dipanggil “website bengkel” boleh mempunyai kos yang jauh berbeza. Satu mungkin ada beberapa halaman maklumat. Satu lagi perlu mengurus operasi bengkel setiap hari.
Website dan sistem web juga boleh digabungkan. Bahagian depan untuk pelanggan tengok servis dan buat tempahan. Bahagian belakang untuk staf urus tempahan tersebut.
Tapi sebelum tempah sistem khas, semak dulu alat yang sedang digunakan. Kalau spreadsheet masih boleh digunakan dengan baik, mungkin belum perlu tukar semuanya. Kalau sudah ada aplikasi tempahan yang sesuai, boleh pertimbangkan untuk sambungkan aplikasi tu dengan website.
Sistem khas lebih masuk akal bila ada keperluan tertentu yang susah nak dipenuhi dengan alat sedia ada. Contohnya, proses kelulusan yang melibatkan beberapa orang atau data yang perlu diambil daripada sistem lain.
Kalau belum pasti apa yang diperlukan, cuba catat satu urusan yang biasa dibuat dalam bisnes.
Contohnya, pelanggan mesej untuk tempahan. Staf semak tarikh dalam spreadsheet, balas pelanggan, kemudian masukkan maklumat yang sama ke tempat lain untuk sediakan invois.
Dari situ boleh nampak bahagian mana yang mengambil masa atau selalu tersilap. Maklumat macam ni lebih membantu developer memahami keperluan projek berbanding senarai fungsi yang panjang tanpa penerangan cara ia akan digunakan.
Tak semestinya semua fungsi perlu dibuat serentak juga. Untuk versi pertama, mungkin cukup dengan rekod pelanggan dan tempahan. Selepas digunakan, baru nampak laporan atau fungsi tambahan apa yang betul-betul diperlukan.
Masa bincang harga, semak sekali apa yang termasuk selepas sistem siap. Siapa urus hosting? Ada caj API atau langganan lain? Kalau ada masalah, siapa yang akan semak? Penyelenggaraan termasuk dalam harga atau dikira berasingan?
Benda ni elok dipersetujui awal supaya senang nak urus kemudian.
Saya Hakimi Sa’ari, freelance developer dari Selangor. Kalau tengah cari orang untuk buat website atau sistem untuk bisnes, boleh tengok projek saya di hakimisaari.site.